
ALOR GAJAH, 15 April -Melaka terus komited membantu para pengusaha sektor pertanian dalam mengaplikasikan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran.
- Penggunaan IoT dan AI memodenkan sektor pertanian serta memperkukuh daya saing industri.
- Teknologi membolehkan operasi pertanian automatik tanpa pemantauan berterusan.
- Inovasi tingkat kecekapan, kurangkan kos tenaga kerja, tambah hasil serta menarik minat golongan muda.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) mampu memodenkan sektor pertanian secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh daya saing industri tersebut.
Menurutnya, teknologi tersebut membolehkan operasi pertanian dilaksanakan secara automatik tanpa memerlukan pemantauan berterusan.
Perkara itu sekali gus meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos tenaga kerja dan menambah hasil pengeluaran.
“Hari ini kita melihat bahawa teknologi ini, jika diketengahkan, ia akan menjadi satu produk yang boleh dipasarkan dengan lebih baik lagi. Tahniah kepada Exco Pertanian yang berusaha meneroka bidang-bidang baharu ini, dan kita akan mengasuh, mendidik serta membantu sebaik mungkin melalui pendekatan mentor-mentee. Insya-Allah, kita akan mengetengahkan teknologi ini sebagai bimbingan kepada anak-anak muda,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ikon Usahawan Gadek di Agrofarm Sahabat Gadek, di sini.
Menurutnya, teknologi dan inovasi tersebut berpotensi untuk dijadikan model pertanian moden yang berdaya saing serta mampu menarik minat golongan muda.
Usaha tersebut turut memperkukuh ekosistem agromakanan negara.