
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Kajian mengenai konsep diat atau pampasan dalam Islam berpotensi dijadikan asas rujukan bagi memperincikan mekanisme pembayaran ganti rugi kepada mangsa kemalangan jalan raya atau waris mereka akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
- Dr Zulkifli menyokong usaha memperkukuh undang-undang pengangkutan dan mengucapkan tahniah kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
- Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan kertas dasar dan draf pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bersama Jabatan Peguam Negara.
- Pindaan membolehkan mahkamah mengarahkan pesalah membayar pampasan dalam prosiding jenayah, mengurangkan masa serta kos bagi mangsa atau waris.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kajian terbitan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan itu boleh membantu kerajaan meneliti peruntukan berkaitan pampasan dalam cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan memperkukuh undang-undang berkenaan, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan atas penerbitan kajian mengenai Diat Kefahaman dan Pelaksanaan.
“Saya ada memberikan penjelasan secara ringkas kepada Menteri Pengangkutan mengenai diat ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.
Menurut Zulkifli, beliau juga telah memberikan penerangan mengenai konsep diat kepada Menteri Pengangkutan bagi membantu memperjelas pelaksanaannya dalam konteks perundangan negara.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini memaklumkan kementeriannya sedang menyediakan kertas dasar dan draf pindaan akta berkenaan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara.
Cadangan pindaan itu disasarkan untuk dibentangkan pada persidangan pertama Parlimen tahun depan.
Mekanisme berkenaan dijangka membolehkan mahkamah mengarahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau waris dalam prosiding kes, tanpa memerlukan mereka memulakan tindakan saman sivil secara berasingan.
Pendekatan itu juga berpotensi mengurangkan tempoh masa serta kos yang perlu ditanggung mangsa atau waris bagi mendapatkan pampasan sewajarnya.