Usaha bawa pulang kru kapal terkandas di UAE dipergiat – PM

Foto FB Datuk Seri Anwar Ibrahim/PMO

KUALA LUMPUR, 15 April – Kerajaan akan terus mempergiat usaha membawa pulang baki kru Kapal Berkat Tuah yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha membawa pulang dilakukan melalui kerjasama Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di UAE dan agensi berkaitan.
  • Perdana Menteri bertemu Muhammad Kamal, pertemuan digambarkan menyentuh hati; beliau dan rakan akhirnya pulang dengan selamat.
  • Penutupan ruang udara akibat konflik di Asia Barat mengganggu penerbangan; kerajaan tekankan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Kementerian Luar (Wisma Putra), Kedutaan Malaysia di UAE dan agensi berkaitan.

Anwar berkata demikian selepas bertemu dengan Muhammad Kamal Idhamuddin Kamal Arifin, antara rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di pelabuhan berkenaan bersama rakan-rakan kru Kapal Berkat Tuah sejak tujuh bulan lalu.

Perdana Menteri turut menyifatkan pertemuan itu sebagai “benar-benar menyentuh hati dan nurani”.

“Alhamdulillah, dengan ikhtiar berterusan… beliau bersama rakan-rakan akhirnya dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.

“Usaha kini dipergiat bagi memastikan baki anak kapal yang masih terkandas dapat segera dibawa pulang,” katanya.

Beliau berkata kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia, walau di mana jua mereka berada, kekal menjadi amanah serta keutamaan Kerajaana MADANI.

“Saya doakan agar saudara Kamal dan semua kru terus diberikan kekuatan dan ketabahan,” katanya.

Sekumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai sejak 28 Feb lepas selamat tiba ke tanah air pada 5 Mac dengan penerbangan Emirates EK342.

Difahamkan, mereka ialah kumpulan pertama yang berjaya kembali ke tanah air selepas enam hari terkandas susulan penutupan ruang udara akibat konflik di Asia Barat.

Gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran serta serangan balas Tehran terhadap pangkalan tentera AS di seluruh rantau itu telah memaksa sebahagian besar ruang udara di Asia Barat ditutup sekali gus memberi kesan kepada penerbangan di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya lapan negara mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing apabila konflik tercetus termasuk Iran, Iraq, Jordan, Qatar, Bahrain, Kuwait dan UAE.- BERNAMA