PDRM perkukuh kawalan stesen minyak sempadan

PDRM memperkukuh penugasan di stesen minyak terutama di kawasan sempadan bagi menangani ketirisan bahan api bersubsidi /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh penugasan di stesen minyak terutama di kawasan sempadan bagi menangani ketirisan bahan api bersubsidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi turut melibatkan Pasukan Gerakan Am bersama kontinjen di lokasi hotspot dan berisiko tinggi.
  • 36 stesen dikenal pasti sebagai hotspot manakala 55 lagi diklasifikasikan berisiko tinggi.
  • Operasi bermula 6 pagi melibatkan Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak dengan penugasan syif untuk kawalan berterusan.
  • Langkah ini sebahagian usaha bersama KPDN untuk pastikan subsidi disalur kepada layak; orang ramai diminta melaporkan aktiviti mencurigakan.

Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), operasi turut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama kontinjen di lokasi hotspot dan berisiko tinggi.

Pemangku Pengarah JKDNKA, Komisioner Datuk Fisol Salleh berkata, 36 stesen dikenal pasti sebagai hotspot, manakala 55 lagi berisiko tinggi.

Operasi bermula 6 pagi, 15 April, melibatkan Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak, dengan penugasan secara syif bagi memastikan kawalan berterusan.

Tumpuan diberikan kepada stesen minyak yang beroperasi antara 6.30 pagi hingga 11.30 malam, iaitu waktu puncak urus niaga yang berpotensi tinggi berlakunya aktiviti penyelewengan.

Bagi stesen yang beroperasi 24 jam pula, pemantauan dilakukan secara berterusan sepanjang masa.

Selain memperkukuh penguatkuasaan di kawasan sempadan, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha bersepadu PDRM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan subsidi disalur kepada golongan layak serta mengekang penyelewengan.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.