
PEKAN, 26 Julai – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Sekolah Sultan Ahmad di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, di sini.
- Baginda menzahirkan rasa syukur kembali ke alma mater yang penuh kenangan dan nostalgia.
- Baginda berharap usaha menaik taraf kemudahan dan prasarana diteruskan untuk persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
- Sekolah berjaya membantu kira-kira 1,000 pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke menara gading.
- Sambutan menyatukan warga sekolah, guru dan alumni, mengenang satu abad serta menonjolkan sejarah dan tokoh bekas pelajar.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Iskandariah, serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dalam titah baginda, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang kembali ke ‘alma mater’ baginda yang penuh dengan kenangan dan nostalgia.
Baginda turut berharap usaha menaik taraf kemudahan serta prasarana sekolah akan diteruskan bagi memastikan generasi akan datang menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berkualiti.
“Alhamdulillah, sehingga kini kita telah berjaya membantu murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan yang sebelum ini menunjukkan prestasi rendah dengan mengubah pendekatan dan kaedah pembelajaran mereka.
Sehingga kini, kira-kira 1,000 pelajar daripada golongan itu telah berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan lebih ramai anak-anak akan terus diberi peluang memperoleh pendidikan berkualiti sebagai usaha melahirkan generasi yang cemerlang pada masa hadapan.
Sambutan bersejarah itu menghimpunkan warga sekolah, barisan guru serta alumni bagi mengenang perjalanan satu abad institusi pendidikan berkenaan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan bekas pelajar dan warga sekolah.
Sekolah Sultan Ahmad Shah yang ditubuhkan pada 1926 dengan nama Government English School merupakan antara institusi pendidikan tertua dan bersejarah di Pahang.
Sekolah itu telah melahirkan ramai tokoh negara, antaranya bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.