fb fb fb fb fb

Program TVET Pemprosesan, catat kadar kebolehpasaran graduan tinggi

Pegawai Perhubungan Industri KKTM Masjid Tanah, Abd Rahman Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 27 Disember- Hampir 95 peratus graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pemprosesan terima tawaran pekerjaan sebaik menamatkan latihan industri.

Menurut Pegawai Perhubungan Industri KKTM Masjid Tanah, Abd Rahman Abd Rahim, ia sekali gus membuktikan keberkesanan program berorientasikan industri berteknologi tinggi itu.

Program berkenaan memfokuskan tiga bidang kritikal yang kini menjadi keperluan utama industri pembuatan.

"Sebagai contoh, bagi bidang plastik, terdapat lebih 1,800 kilang di negara ini. Manakala bagi bidang seramik pula, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah merupakan satu-satunya institusi yang masih menawarkan kursus seramik di Malaysia. Ini bermakna, dari sudut pasaran, KKTM Masjid Tanah boleh dianggap sebagai monopoli bagi bidang seramik."

"Bagi bidang plastik pula, institut yang menawarkan kursus ini hanyalah sekitar lima hingga tujuh institut sahaja. Justeru, graduan yang kita hasilkan jumlahnya terhad, namun sangat mendapat permintaan tinggi daripada industri," kata Abd Rahman kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), hari ini.

Program turut menfokuskan kemahiran dalam bidang polimer komposit yang memberi pendedahan kepada teknologi pembuatan berimpak tinggi seperti badan kapal terbang dan kapal layar mewah, untuk pasaran eksport ke Amerika Syarikat (AS), Australia dan Eropah.

Tambahnya, ketika ini, KKTM Masjid Tanah dianggarkan mempunyai 600 pelajar aktif, dengan kapasiti maksimum sehingga 850 pelajar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM