
BOSTON, 17 Jun – Pengendali Norway, Stale Solbakken menghamburkan pujian terhadap ketua pasukannya, Erling Haaland yang disifatkannya mempunyai mentaliti luar biasa selepas meledak dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Iraq.
- Erling Haaland meletakkan Norway di hadapan dan menjaringkan lagi sebelum tamat separuh masa.
- Haaland kini memiliki 57 gol antarabangsa dalam 51 penampilan bersama Norway.
- Haaland menyatakan dia bangga menyertai Piala Dunia dan membantu kemenangan pertama Norway selepas 28 tahun.
- Pengendali Iraq Graham Arnold akui kesilapan menghukum pasukannya tetapi yakin masih mampu layak dengan tiga mata baki perlawanan.
Penyerang Manchester City itu meletakkan Norway di hadapan dalam penampilan pertama negara itu di Piala dunia selepas 28 tahun sebelum sekali lagi meledak gol sebelum tamat babak pertama selepas Iraq menyamakan kedudukan.
“Anda dapat melihat dia cepat menyesuaikan diri dengan keadaan, pentas ini tidak terlalu besar untuknya,” kata Solbakken.
“Saya mempunyai perasaan yang baik sebelum perlawanan bermula. Saya berasa cukup yakin bahawa dia akan melakukan sesuatu untuk kami hari ini.”
Haaland kini telah menjaringkan 57 gol antarabangsa dalam 51 penampilan bersama Norway.
“Saya amat bangga dapat mengambil bahagian dalam Piala Dunia dan membantu memenangi perlawanan pertama untuk Norway dalam tempoh 28 tahun,” kata Haaland.
Dalam pada itu, pengendali Iraq, Graham Arnold percaya pasukan bimbingan Solbakken itu mampu melangkah “lebih jauh” dalam kejohanan kali ini.
Sementara itu, Arnold mengakui Iraq terpaksa membayar harga yang mahal akibat kesilapan sendiri, namun tetap meletakkan harapan tinggi menjelang dua lagi aksi sukar menentang Perancis dan Senegal.
“Pemain beraksi dengan sangat baik pada separuh masa pertama, tetapi beberapa kesilapan menghukum kami pada babak kedua,” kata pengendali kelahiran Australia itu.
“Kami belum berputus asa, tiga mata (daripada baki perlawanan) masih mampu membawa kami keluar dari peringkat kumpulan”, ujarnya.