
SUNGAI PETANI, 17 Jun – Jenazah anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Koperal Norazmi Abu Bakar, 40 tahun, yang terkorban dalam insiden letupan ketika latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Busyra, Merbok, awal pagi tadi.
- Upacara pengebumian diadakan dengan istiadat ketenteraan, dihadiri keluarga, rakan seperjuangan dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia.
- Jenazah selesai dibedah siasat pada 2.30 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, kemudian dimandi dan dikafankan.
- Allahyarham meninggalkan isteri dan dua cahaya mata: Nurliana Danisha, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8.
Allahyarham yang bertugas dengan Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dikebumikan dalam istiadat ketenteraan kira-kira pukul 5.25 pagi dengan dihadiri ahli keluarga, rakan seperjuangan serta pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Terdahulu, jenazah Allahyarham selesai dibedah siasat pada pukul 2.30 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebelum dimandi dan dikafankan di hospital berkenaan.
Jenazah kemudian dibawa ke kediaman ibunya di Kampung Tupah Lama, Merbok bagi memberi peluang kepada keluarga dan kenalan rapat memberikan penghormatan terakhir.
Selepas itu, jenazah dibawa ke Masjid Al Busyra, Merbok dan disolatkan yang diimamkan oleh Pegawai Staf Agama Briged Keenam Infantri Malaysia Mejar Mohd Sobri Che Hassan.
Simbolik Penyerahan Bendera diserahkan oleh Pegawai Memerintah Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Wazir Syafiq Nodin kepada Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman, sebelum diserahkan kepada isteri Allahyarham Siti Fairus Mohamad Yussof, 38.
Allahyarham meninggalkan dua orang cahaya mata iaitu Nurliana Danisha, 14 tahun, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8 tahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.57 pagi semalam, Allahyarham bersama seorang lagi anggota, Prebet Siti Khadijah Sungip, 24 tahun, daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) terkorban, selepas terlibat dalam insiden letupan ketika latihan membaling grenad.
Latihan tersebut merupakan sebahagian daripada Latihan Peningkatan Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun.
Menurut TDM, kedua-dua anggota mengalami kecederaan parah akibat letupan tersebut dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.