Pelajar Kedah di luar negara diingatkan jaga nama baik Malaysia

Foto Facebook Dato’ Zuraidi Bin Rahim-DZR

TOKYO, 17 Jun – Pelajar khususnya dari Kedah yang melanjutkan pengajian ke luar negara diingatkan supaya sentiasa menjaga nama baik Malaysia dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memberi persepsi negatif dan imej buruk kepada negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar di luar negara berperanan sebagai duta kecil dan jambatan mempererat hubungan antara Malaysia dan negara lain.
  • Sesi ramah mesra bersama Kedutaan Besar memberi pendedahan, perkongsian ilmu, peluang pendidikan antarabangsa dan pembangunan modal insan bertaraf global.
  • Pendedahan ini diharap menyuntik inspirasi agar pelajar terus melakar kecemerlangan dan menjadi pemimpin berwawasan serta berdaya saing.

Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, pelajar yang berada di luar negara merupakan duta kecil kepada negara dan mereka boleh menjadi jambatan kepada usaha merapatkan hubungan antara Malaysia dan negara-negara luar.

Datuk Zuraidi berkata demikian pada sesi ramah mesra para pelajar cemerlang SPM 2025 Negeri Kedah bersama pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jepun di Tokyo, Jepun.

Program turut dihadiri Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun, Zainal Azlan Mohd Nadzir bersama pegawai-pegawai kanan pejabat kedutaan.

Katanya, pertemuan tersebut membuka ruang perkongsian ilmu, pandangan serta pengalaman berkaitan hubungan Malaysia-Jepun, peluang pendidikan antarabangsa dan pembangunan modal insan bertaraf global.

Beliau berharap pendedahan seperti itu dapat menyuntik inspirasi kepada anak-anak Kedah untuk terus melakar kecemerlangan serta menjadi generasi pemimpin masa hadapan yang berwawasan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Saya secara peribadi bersama dengan rombongan mengucapkan sejuta penghargaan kepada pihak kedutaan kerana menerima kunjungan ini bagi memberi sedikit pendedahan kepada anak-anak bagi anak-anak yang dapat mendapat keputusan cemerlang daripada Kedah yang ingin meneruskan pengajian ke negara matahari terbit ini.

“Ini menjadi titik permulaan yang penting dalam membuka minda dan meningkatkan keyakinan mereka untuk menyambung pengajian di luar negara.

“Sekurang-kurangnya, para pelajar berpeluang memperoleh pengalaman serta pengetahuan yang berguna hasil perkongsian daripada pihak kedutaan, termasuk Tuan Khairul dan Tuan Zainal. Kita dapat mengetahui serba sedikit sistem dan konsep yang telah ditetapkan untuk masuk dan belajar disini”, katanya.

Lawatan pendidikan itu disertai 32 pelajar cemerlang SPM dari dari Daerah Padang Terap, Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi di Kedah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.