
KOTA KINABALU, 13 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang unsur yang boleh menjejaskan semangat kebersamaan dan nilai perpaduan antara kaum.
- Majoriti rakyat memahami kepentingan perpaduan kukuh sebagai tunjang kestabilan dan kemajuan negara.
- Perpaduan kukuh menjadi permulaan pemacuan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.
- Tidak semua negara berkepelbagaian kaum, agama dan wilayah mampu mengekalkan kesatuan serta keharmonian seperti Malaysia.
- Rakyat diseru mempertahankan perpaduan, sambil menghargai inisiatif Kementerian Perpaduan Negara.
Datuk Seri Anwar mengakui bahawa majoriti rakyat memahami kepentingan perpaduan kukuh sebagai tunjang kepada kestabilan dan kemajuan negara.
“Sebenarnya majoriti rakyat negara ini faham erti perpaduan dan mereka tahu perpaduan kukuh menjadi permulaan bagi pemacuan pertubuhan ekonomi.
“Namun, seringkali juga kita yang biasa dengan keadaannya aman dan perpaduan ini bersatu, kita lupa bahawa ada kalanya kita terjebak dengan pengaruh yang mengikis semangat ini dan memupuk perasaan yang bertentangan dengan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Tambah Datuk Seri Anwar, tidak semua negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan wilayah mampu mengekalkan kesatuan serta keharmonian seperti yang dinikmati Malaysia pada ketika ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus mempertahankan dan menjaga perpaduan antara kaum demi keharmonian bersama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara atas pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dalam menyemarakkan semangat perpaduan antara kaum.