Pemerkasaan TVET kunci pemodenan sektor pertanian domestik

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi RTM

PUTRAJAYA, 6 Jun Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor pertanian menerusi penerapan teknologi moden mampu menjadi kunci utama dalam mengurangkan kebergantungan import makanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menukar pendekatan pertanian konvensional kepada kaedah moden melalui silibus dan latihan di institusi TVET.
  • Menggalakkan penggunaan teknologi moden seperti dron dan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil dan produktiviti.
  • Transformasi TVET cipta pekerjaan berkemahiran tinggi, gaji kompetitif, menarik minat belia serta ubah persepsi pekerjaan tradisional 3D.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sudah tiba masanya pendekatan pertanian konvensional ditukar kepada kaedah yang lebih moden menerusi silibus dan latihan yang diajar di institusi TVET.

“Nilai import makanan negara mencecah kira-kira RM80 bilion setahun, sedangkan sebahagian besar daripadanya berpotensi dihasilkan dalam negara. Justeru, TVET pertanian perlu diperkasakan bagi menggalakkan penggunaan teknologi moden seperti dron dan pertanian pintar untuk meningkatkan hasil serta produktiviti sektor itu,” katanya demikian ketika siaran Selamat Pagi Malaysia bersempena Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa transformasi ke arah pertanian moden bukan sahaja mampu memperkukuh sekuriti makanan negara, malah berupaya membuka peluang pekerjaan baharu yang menawarkan pendapatan lebih kompetitif.

Katanya, bidang berkenaan kini tidak lagi terhad kepada kerja-kerja tradisional yang sinonim dengan 3D (kotor, bahaya, sukar), sebaliknya melibatkan kerjaya masa depan yang memerlukan kemahiran teknologi tinggi.

“Pekerjaan kini bukan lagi sekadar pengutip buah, tetapi sebagai “harvester” dengan gaji sekitar RM3,000 sebulan. Pengendali dron pula boleh memperoleh sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan TVET yang diterapkan dalam sektor pertanian moden ini diyakini mampu mengubah persepsi masyarakat, sekali gus menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya pilihan yang menjamin masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.