
PETALING JAYA, 6 Jun – Kerajaan sedang mengamalkan pendekatan pengurusan risiko yang baik dengan mempelbagaikan sumber bekalan tenaga, termasuk dari Afrika Barat dan Amerika Syarikat bagi memastikan aktiviti ekonomi negara dapat diteruskan, meskipun berdepan ketidaktentuan susulan krisis Asia Barat.
- Kerajaan mengamalkan pengurusan risiko dan mempelbagaikan sumber tenaga bagi menjamin keselamatan bekalan negara.
- Usahasama Petronas dan syarikat minyak lain berjaya memperoleh sumber baru serta menjamin bekalan mencukupi.
- Konflik di Asia Barat berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global terutama sektor petrokimia.
- Kerajaan dan pemain industri meneliti sumber alternatif untuk kestabilan bekalan dan kurangkan risiko gangguan.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, langkah itu dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada hanya satu sumber bekalan sahaja, selain memperkukuh pengurusan risiko negara.
“Usahasama Petronas dan syarikat minyak yang lain telah berjaya untuk terus mendapat sumber baru dalam negara dan kita jamin bekalan yang cukup. Bila bekalan cukup, ekonomi boleh berkembang.
“Kalau ada apa-apa yang akan berlaku, kerana masih ada kekangan untuk mengeluarkan bekalan produk yang ada daripada Asia Barat dan implikasinya kepada keselamatan rangkaian bekalan. Itulah isu yang akan ditangani melalui industri. Kita mungkin kena melihat sumber alternatif daripada tempat lain,” katanya.
Beliau bercakap demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Tani Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui konflik di Asia Barat masih berpotensi memberi kesan kepada rantaian bekalan global, khususnya sektor petrokimia.
Sehubungan itu, kerajaan dan pemain industri sedang meneliti sumber bekalan alternatif lain bagi memastikan kelangsungan bekalan bahan mentah kekal stabil serta mengurangkan risiko gangguan pada masa hadapan.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasir memaklumkan bekalan tenaga negara ketika ini mencukupi sehingga penghujung Julai 2026 berdasarkan data yang dikemukakan oleh Petronas.
Rizab bekalan sedia ada juga mampu menampung peningkatan permintaan domestik.