
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) digesa mengorak langkah bagi melebarkan sayapnya di peringkat ASEAN sebagai hab latihan dan pusat perkongsian ilmu komunikasi serantau.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, langkah tersebut boleh dilaksanakan menerusi pengukuhan jaringan kerjasama, perkongsian kepakaran, serta pelaksanaan program pembangunan kapasiti bersama negara-negara anggota.
- Memperkukuh jaringan kerjasama, perkongsian kepakaran dan program pembangunan kapasiti dengan negara anggota ASEAN.
- Berperanan sebagai pusat latihan dan perkongsian ilmu yang menyokong transformasi serta reformasi komunikasi serantau.
- Menangani landskap global mencabar melalui penyampaian maklumat pantas, tepat dan berwibawa supaya rakyat memahami dasar kerajaan.
- Evolusi lima dekad dari latihan teknikal RTM ke fokus komunikasi strategik dan pusat rujukan agensi kerajaan.
“Saya menyeru agar IPPTAR terus mengorak langkah lebih jauh dalam memperkukuh kedudukannya di peringkat ASEAN melalui jaringan kerjasama, perkongsian kepakaran serta program pembangunan kapasiti bersama negara-negara anggota.
“Usaha ini akan membolehkan IPPTAR berperanan sebagai hab latihan dan pusat perkongsian ilmu yang menyokong agenda transformasi serta reformasi komunikasi serantau,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian program Hari IPPTAR 2026 di sini, hari ini.
Menurut Abdul Halim, landskap global yang semakin mencabar hari ini menuntut penyampaian maklumat yang pantas, tepat, dan berwibawa bagi memastikan rakyat memahami setiap dasar serta usaha kerajaan dalam menangani isu semasa.
Justeru, beliau menegaskan IPPTAR kekal signifikan sebagai institusi latihan komunikasi dan penyiaran utama negara dalam melahirkan warga penerangan yang berintegriti serta berupaya mengendali maklumat secara berkesan dalam persekitaran yang kompleks.
Mengulas mengenai pencapaian institut itu, Abdul Halim berkata sepanjang lima dekad lalu, IPPTAR telah menunjukkan perubahan yang amat membanggakan.
Katanya, bermula daripada sebuah institut latihan penyiaran yang menyediakan latihan teknikal kepada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), ia berkembang menjadi institusi latihan yang turut memberi fokus kepada komunikasi strategik bagi Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) di bawah Kementerian Komunikasi.
Kini, IPPTAR turut menjadi pusat rujukan pelbagai agensi kerajaan dalam bidang penyiaran dan komunikasi melalui pelaksanaan program berimpak tinggi serta kerjasama strategik di peringkat serantau dan antarabangsa.