PERAI, 16 Januari- Insiden pertengkaran pasangan lelaki dan perempuan di kawasan hentian Jambatan Pulau Pinang semalam bertukar tragedi apabila mereka terjatuh ke dalam laut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Shahrul Munawer Taharen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.49 malam.
Kejadian berlaku di Kilometer 2.8 dekat Jambatan Pulau Pinang dari pusat bandar menghala sini.
Katanya, sebelum insiden jatuh tersebut, mangsa yang menaiki sebuah kereta telah memberhentikan kenderaan di atas jambatan terbabit dan bertengkar.
Namun, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh seorang individu yang terjun ke dalam laut serta dibawa menaiki bot nelayan yang kebetulan berada di lokasi.
Mereka kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban dan diberi rawatan awal.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua mangsa berusia 30-an.
Mangsa lelaki dilapor cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Shahrul berkata, kes berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sejak semalam, kejadian tersebut tular di media sosial menerusi video berdurasi 17 saat yang memaparkan pasangan itu terapung atas air.
Pertengkaran dipercayai membabitkan masalah peribadi, namun tidak diketahui status hubungan mereka.
Difahamkan, individu yang terjun ke laut bagi menyelamatkan mangsa pula adalah seorang anggota tentera.