fb fb fb fb fb

NRES, JMG dan MOTAC berkerjasama wujud lesen geo guide

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan memasyhurkan Lenggong Geopark pada Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (dua, kiri) dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan)

LENGGONG, 9 Mac - Kementerian Alam Sekitar dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan pertemuan dengan tiga kementerian dua minggu lagi bagi membincangkan mengenai pembangunan kerangka model perniagaan unsur nadir bumi (REE) negara.

Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tiga kementerian terlibat ialah Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau berkata pertemuan itu bagi membincangkan spektrum keseluruhan model perniagaan REE termasuk cadangan penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka dan mengawal selia industri berkenaan.

"Seperti saya katakan kerajaan memang sedang melihat perkara ini. Jadi, dalam pertemuan itu nanti kita akan lihat perkara daripada huluan ke hiliran model perniagaan REE mengikut kerangka Perlembagaan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark, di sini.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata NRES melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mewujudkan Lesen geo guide bagi kawasan Geopark bawah Akta Industri Pelancongan, 1992 (Akta 482).

Beliau berkata, seramai 229 orang geoguide di semua geopark kebangsaan telah berjaya lulus dalam kursus Eco-Host anjuran MOTAC dan JMG iaitu salah satu pra-syarat dalam mewujudkan lesen geo guide.

"Jadi ini satu peluang untuk mereka menjana pendapatan dan satu limpahan kepada ekonomi setempat sebab apabila mereka datang, pelancong datang mereka berbelanja untuk makanan untuk upah geo guide tempat tinggal di homestay dan sebagainya.

"Dan kesannya sangat besar sampai ada program yang dibuat pada tahun lepas dalam tempoh dua, tiga hari boleh mengutip sehingga RM2 juta hingga RM3 juta wang yang dibelanjakan di kawasan ini," kata Nik Nazmi.

Tambahnya, di Lenggong Geopark seramai 23 orang geoguide telah berjaya lulus dalam kursus tersebut.

Sementara itu dalam ucapannya beliau berkata, NRES selaku peneraju dan Pengerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan memberi sokongan penuh terhadap usaha pembangunan geopark di negara ini.

Katanya, usaha itu terbukti di mana dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, kementeriannya melalui JMG, Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dan Jawatankuasa Pelaksana Geopark telah berjaya mengiktiraf 11 geopark kebangsaan.

"Geopark itu ialah Jerai di Kedah dan Lembah Kinta di Perak (2017), Labuan di Wilayah Persekutuan dan Lenggong di Perak (2021), Gombak-Hulu Langat di Selangor, Stong di Kelantan dan Sarawak Delta di Sarawak (2022) dan Kenyir di Terengganu, Perlis serta Lipis di Pahang (2023)," katanya.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menyempurnakan Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Lenggong.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan lafaz pemasyhuran seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Sultan Nazrin turut berkenan melawat Galeri Lenggong Geopark yang dibuka pada 16 Disember tahun lepas.

TETITIA YUSOFF