fb fb fb fb fb

Mufti: Melaka fatwakan ajaran, amalan dalam GISBH sesat

Gambar hiasan

AYER KEROH, 14 Oktober - Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah haram kerana mengandungi elemen yang bertentangan hukum syarak.

Antaranya amalan dalam GISBH menyamai dengan kegiatan Al-Arqam pimpinan Allahyarham Ashaari Muhamad yang mana mempunyai kefahaman, amalan dan wirid yang tidak jauh beza.

Al-Arqam diharamkan pada 1994 ekoran ajarannya bertentangan dengan akidah dan syariat Islam di negara ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa berkenaan pada 3 Oktober lalu.

"Meski pun mereka menggunakan nama lain, tetapi ciri-ciri ajaran serta amalannya ada persamaan, khususnya daripada sudut kepercayaan, amalan, wirid dan juga pegangan (kepercayaan) mereka.
 
"Kami telah memutuskan bahawa apa yang dibawa oleh kumpulan GISB ini adalah bertentangan dengan hukum syarak. Kami sedang dalam proses untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap isu ini.

"Fatwa yang telah kami bincangkan akan dibentangkan di dalam majlis dan kemudiannya akan diwartakan bagi memastikan ianya mempunyai kuasa perundangan.

"Pihak penguatkuasa, termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak polis, kini sedang menjalankan tindakan penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan kumpulan ini," katanya selepas menghadiri Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka Sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Katanya, keputusan itu akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk diperkenankan dalam masa terdekat ini.

Justeru, dengan pengharaman itu, segala ajaran dan aktiviti yang berkaitan GISBH di negeri itu adalah dilarang sama sekali.
 
Pihaknya bersedia membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar dari kesesatan itu.
 

GRACE AISYAH KEDAYAN