Misi MALBATT : Aset ATM bakal diserah secara berperingkat kepada LAF

Penyerahan aset merupakan sebahagian proses pengunduran MALBATT menjelang pengakhiran penugasan di Lubnan/Foto FB Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Sebanyak 292 aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah misi MALBATT di Lubnan bernilai kira-kira AS$10 juta bakal diserahkan secara berperingkat kepada Angkatan Tentera Lubnan (LAF) sehingga Januari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyerahan aset merupakan sebahagian proses pengunduran MALBATT, mengambil kira manfaat kepada LAF dan masyarakat, khususnya kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan.
  • Sebahagian aset akan dibawa pulang, sebahagian dilupuskan di Lubnan, manakala selebihnya diserahkan kepada LAF.
  • MALBATT 850-13 adalah kontinjen terakhir Malaysia di bawah UNIFIL, menandakan penghujung hampir dua dekad penglibatan sejak 2007.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, penyerahan aset berkenaan merupakan sebahagian daripada proses pengunduran MALBATT menjelang pengakhiran penugasan di Lubnan.

“Sebahagian aset akan dibawa pulang ke Malaysia, dilupuskan di Lubnan, manakala selebihnya diserahkan kepada LAF.

“Penyerahan itu mengambil kira manfaat kepada LAF dan masyarakat setempat, khususnya dalam aspek kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke UNP 2-1, Kem Marakah di selatan Lubnan yang menempatkan MALBATT 850-13, pada hari kedua lawatan rasmi beliau ke negara itu.

Majlis disempurnakan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim kepada wakil LAF, Brigedier Jeneral Engineer Bassem Saad.

Majlis turut disaksikan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Anwar Udzir.

Dalam satu lagi hantaran Facebook, Datuk Seri Khaled memberitahu, MALBATT 850-13 menjadi kontinjen terakhir Malaysia yang ditugaskan di bawah misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), sekali gus menandakan penghujung hampir dua dekad penglibatan negara dalam misi pengaman di negara itu.

“MALBATT 850-13 kini dalam persiapan untuk mengakhiri penugasan selepas Malaysia menyumbang kepada usaha keselamatan dan kestabilan antarabangsa sejak 2007.

“Sejak 2007, kehadiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bumi Lubnan di bawah misi UNIFIL mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyumbang kepada usaha keamanan dan kestabilan antarabangsa,”katanya.

Datuk Seri Khaled turut ditaklimatkan mengenai perkembangan semasa penugasan MALBATT 850-13, termasuk kawasan tanggungjawab serta persiapan menjelang berakhirnya penugasan MALBATT di Lubnan.

Sepanjang tempoh penglibatan itu, ATM melaksanakan amanah keselamatan sejagat dengan penuh profesionalisme dan dedikasi, satu khidmat yang menjadi kebanggaan rakyat dan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.