
AYER KEROH, 28 April – Menerusi inisiatif Melaka Sayang Rakyat, Melaka mewujudkan dua tabung khas dalam mengurus tadbir tanah perkuburan di negeri itu.
- Tabung Tanah Perkuburan Islam dikendalikan Jabatan Agama Islam Melaka dan Tabung Tanah Perkuburan Selain Islam dikendalikan RIBI.
- Dana digunakan untuk mengenal pasti, memperoleh dan membangunkan tapak perkuburan baharu mengikut keperluan demografi setempat.
- Pemaju di kawasan bawah 5,000 penduduk perlu bayar RM1,030 setiap unit; kawasan melebihi 5,000 mesti sediakan tanah perkuburan 2.5 ekar untuk umat Islam.
Dua tabung terbabit ialah Tabung Tanah Perkuburan Islam yang diurus Jabatan Agama Islam Melaka dan Tabung Tanah Perkuburan Selain Islam yang dikendalikan Jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam (RIBI).
Menurut Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin, dana tersebut akan digunakan bagi mengenal pasti, memperoleh dan membangunkan tapak baharu yang sesuai dijadikan kawasan perkuburan mengikut keperluan demografi setempat.
Katanya, pendekatan ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dalam memastikan keperluan tanah perkuburan bagi semua kaum dan agama terus terjamin selaras dengan pembangunan pesat negeri.
“Tabung ini diwujudkan bagi mengenal pasti mana-mana tapak tanah yang sesuai untuk dijadikan tanah perkuburan, termasuk di kawasan perumahan baharu.
“Sebagai contoh, bagi pembangunan perumahan yang berada di bawah garis panduan yang telah diluluskan oleh State Planning Committee dan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), pemaju diwajibkan mematuhi syarat ditetapkan.
“Bagi kawasan yang mempunyai populasi 5,000 penduduk ke bawah, setiap pemaju perlu membayar RM1,030 bagi setiap unit rumah. Namun, bagi kawasan melebihi 5,000 penduduk, pemaju tidak dikenakan bayaran tersebut, sebaliknya diwajibkan menyediakan tanah perkuburan seluas 2.5 ekar khusus untuk umat Islam”, katanya.
“Jadi, kita boleh lihat bahawa bagi kawasan perumahan baharu berskala besar yang melebihi 5,000 penduduk, tanah perkuburan perlu disediakan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan Pertama penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri Ayer Keroh.
Kerajaan Negeri Melaka menjelaskan bahawa perancangan tapak perkuburan di negeri itu dilaksanakan secara holistik bagi menampung pertambahan penduduk.
Setakat ini, tabung bagi tanah perkuburan selain Islam telah mengumpul hampir RM240,000, manakala tabung perkuburan Islam melebihi RM900,000 menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM1.2 juta.