
KUALA LUMPUR, 28 April – Malaysia berpotensi menjadi negara hebat dan bersaing dengan negara-negara maju disokong pembangunan negara berteraskan nilai integriti.
- Keseimbangan ilmu antara sains, teknologi termasuk AI dan sains sosial penting untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan tinggi serta beretika.
- Negara mesti diurus berasaskan nilai integriti bagi mengelakkan rasuah, penyelewengan dan kepimpinan angkuh yang boleh merosakkan kemajuan.
- Mengukuh perpaduan positif seperti konsep Ibn Khaldun penting; tanpa itu rasuah dan keangkuhan boleh menyebabkan kejatuhan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengukuhan keseimbangan ilmu antara bidang sains dan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), serta sains sosial dilihat penting bagi melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, tetapi juga memahami nilai kemanusiaan dan etika dalam pembangunan negara.
“Saya yakin Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang hebat sekiranya diurus dengan baik dan berlandaskan nilai yang betul.
“Sekiranya negara dibiarkan berdepan dengan amalan rasuah, penyelewengan serta kepimpinan yang angkuh dan takbur, ia boleh menyebabkan negara menjadi lemah dan akhirnya merosot.
“Perkara itu selari dengan pandangan tokoh ilmuwan Ibn Khaldun yang menyatakan sesebuah negara boleh muncul hebat melalui semangat perpaduan atau ‘asabiyyah’ yang positif, namun boleh runtuh akibat rasuah, penyelewengan dan keangkuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama pelajar dalam program Temu Anwar & Pelancaran Rasmi Bangunan Baharu AI Kampus Universiti UCSI di ibu negara.