Kejayaan pelaksanaan had umur media sosial perlu sokongan semua pihak

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 April – Cadangan pelaksanaan had umur bagi penggunaan media sosial dalam kalangan remaja perlu dilihat secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak supaya penggunaannya dapat dikawal dengan lebih berkesan, sekali gus melindungi mereka daripada pengaruh negatif di alam digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan had umur perlu disokong penglibatan ibu bapa dan keluarga dalam membimbing remaja menggunakan media sosial secara berhemah.
  • Peraturan kerajaan penting tetapi tidak mencukupi tanpa asas moral dan nilai yang kukuh dalam keluarga dan masyarakat.
  • Pendidikan nilai, etika dan sahsiah perlu diperkukuh secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak termasuk institusi pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keberkesanan dasar tersebut perlu disokong penglibatan ibu bapa dan ahli keluarga dalam membimbing anak-anak menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.

“Saya bersetuju dengan pandangan itu. Saya ingin menambah satu perkara, iaitu pada akhirnya, ‘firewall’ sebenar sebenarnya terletak dalam diri kita sendiri dan dalam institusi keluarga.

“Maksud saya, peraturan yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa dan kerajaan memang penting, namun perlindungan yang sebenar perlu bermula daripada keluarga itu sendiri. Ibu bapa serta ahli keluarga yang lebih tua seperti abang dan kakak perlu memainkan peranan dalam membimbing anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama pelajar dalam program Temu Anwar & Pelancaran Rasmi Bangunan Baharu AI Kampus Universiti UCSI di ibu negara.

Pada masa sama Perdana Menteri turut menegaskan bahawa tanpa asas moral dan nilai yang kukuh, pelbagai undang-undang yang diperkenalkan mungkin tidak mencukupi untuk melindungi golongan muda daripada pengaruh negatif media sosial.

Pendidikan berkaitan nilai, etika dan moral perlu diperkukuh secara lebih menyeluruh, bukan hanya dalam konteks keagamaan semata-mata, tetapi merangkumi pembinaan sahsiah generasi muda.