
KUALA LUMPUR, 28 April – Universiti Malaya (UM) melancarkan Pelan Strategik Universiti Malaya (UMSP) 2026–2030, sebagai usaha memperkukuh kecemerlangan institusi ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan, progresif dan berimpak global.
- Pelan Strategik dirangka atas lapan teras utama termasuk Pembelajaran Dinamik, Penyelidikan Berteraskan Misi, Pemerkasaan Penjagaan Kesihatan serta Keunggulan Global.
- Pelancaran disempurnakan Sultan Nazrin, menandakan komitmen berterusan universiti memperkasa pendidikan, penyelidikan, inovasi, penjagaan kesihatan dan kelestarian.
- Fokus memperkukuh PPUM dalam ekosistem strategik, menjadikan UM hab akademik kesihatan dengan teknologi digital dan pusat kecemerlangan.
Pelancaran itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga merupakan Canselor UM sebagai simbol komitmen berterusan universiti itu dalam memperkasa pendidikan, penyelidikan, inovasi, penjagaan kesihatan dan kelestarian institusi.
UMSP 2026-2030 digarap berteraskan aspirasi untuk membentuk masa depan yang mampan melalui kecemerlangan dalam pembelajaran, penyelidikan dan penjagaan kesihatan, disokong oleh keupayaan digital, kelestarian serta komitmen terhadap impak global.
Sementar itu, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pelan strategik itu dirangka bagi memastikan universiti berkenaan kekal relevan dalam menghadapi perubahan pesat landskap pendidikan tinggi dan cabaran global.
“Pelan itu akan menjadi panduan utama dalam memperluas impak universiti serta mengukuhkan kedudukan UM sebagai institusi bertaraf dunia.
“Pelan Strategik Universiti Malaya (UMSP) 2026–2030 digerakkan berasaskan lapan teras utama iaitu Pembelajaran Dinamik, Penyelidikan Berteraskan Misi, Pemerkasaan Penjagaan Kesihatan, Kelestarian Kewangan, Pembangunan Bakat dan Budaya Tangkas, Pemacuan Masa Depan Digital, Ekosistem Berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta Keunggulan Global,” kata Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan.
Antara fokus utama pelan tersebut ialah pengukuhan sektor penjagaan kesihatan dengan penglibatan lebih menyeluruh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam ekosistem strategik universiti.
Menerusi teras Championing Healthcare, UM komited menjadi hab akademik kesihatan masa hadapan melalui pemerkasaan teknologi digital, pembangunan pusat kecemerlangan serta penyelesaian kesihatan yang inklusif dan inovatif.
UMSP 2026-2030 dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi berterusan Universiti Malaya dalam mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi serta memperluas sumbangan kepada masyarakat dan negara.