
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kerajaan menegaskan kepentingan menyuburkan semula adab, kebijaksanaan dan pertimbangan yang matang dalam masyarakat bagi memastikan perbezaan pandangan tidak dikuasai oleh emosi, khususnya dalam era lambakan maklumat digital.
- Lambakan maklumat digital tanpa kebijaksanaan menuntut pengukuhan adab dan pertimbangan matang.
- Ketidakupayaan menilai maklumat mengelirukan masyarakat, merisikokan pembentukan pemikiran dan sahsiah generasi muda.
- Peranan ulama dan institusi agama penting untuk membimbing penilaian dan melindungi masyarakat daripada maklumat mengelirukan.
- Usaha persidangan JAKIM dan Liga Dunia Islam perlu diteruskan untuk memperkukuh nilai, hikmah dan benteng moral ummah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat kini berdepan cabaran besar apabila maklumat yang melimpah ruah di media sosial tidak disertai dengan keupayaan menilai dan menyaring kandungannya secara bijaksana.
Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berisiko menjejaskan pembentukan pemikiran dan sahsiah generasi muda.
“Kita kini hidup dalam lambakan maklumat, tetapi sering menderita kemiskinan kebijaksanaan. Data semakin meningkat, namun hikmah semakin menjauh.
Tanpa intervensi daripada ilmuwan yang benar, saya bimbang minda generasi kita akan terus dibentuk oleh informasi tanpa kebijaksanaan, dan watak mereka terhakis oleh budaya tanpa sempadan serta dipandu emosi semata-mata,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara Keempat anjuran bersama Liga Dunia Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, peranan ulama dan institusi agama kini semakin penting dalam membantu masyarakat membuat penilaian yang tepat terhadap maklumat yang diterima.
Menurut beliau, bimbingan golongan ilmuwan diperlukan bagi memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan atau disebarkan tanpa pertimbangan etika.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai komitmen Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Liga Dunia Islam yang terus menganjurkan persidangan berkenaan sebagai platform memperkukuh pemikiran, nilai serta benteng moral ummah di rantau ini.