Kenaikan IPKP disifatkan ‘talian hayat’ kepada pesawah

FOTO RTM

PASIR MAS, 15 April – Golongan pesawah di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega susulan keputusan kerajaan menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 sebagai langkah menangani impak krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar IPKP dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar, melibatkan peruntukan tambahan kira-kira RM40 juta.
  • Pesawah menyambut baik langkah itu, mengatakan ia meringankan beban kos input dan tenaga.
  • Petani harap insentif berkekalan serta dipertingkat mengikut keadaan, untuk memastikan kelangsungan pengeluaran padi.
  • Permudahan pendaftaran melalui PPK diminta agar bantuan sampai terus kepada petani di bendang.

Kementerian kewangan dalam kenyataan pada Selasa mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar tersebut daripada RM160 kepada RM300 sehektar, melibatkan peruntukan tambahan dana sekitar RM40 juta.

Inisiatif itu merupakan langkah segera kerajaan dalam menguruskan kesan kenaikan kos tenaga, sekali gus melindungi kelangsungan hidup pesawah yang terkesan secara langsung oleh kenaikan harga input pertanian termasuk diesel.

Tinjauan RTM di sekitar Pasir Mas mendapati rata-rata pesawah menyambut baik pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah proaktif bagi memastikan pengeluaran padi negara tidak terjejas.

Seorang pesawah, Mohd Saifullah Mohd Yusoff berkata, kenaikan kadar itu sangat bermakna dalam meringankan perbelanjaan mereka menjelang musim penanaman akan datang.

“Alhamdulillah, kenaikan kepada RM300 ini memang meringankan sedikit beban petani.

“Jadi kami lebih bersemangat dan boleh melakukan kerja-kerja pembajakan dengan bantuan yang disediakan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Sayuti Awang, beliau menyifatkan penambahan insentif itu sebagai ‘talian hayat’ memandangkan kos asal penanaman kini semakin meningkat.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana peka. Kalau tidak dinaikkan, ia akan menjadi bebanan yang sangat berat kepada kami.

“Saya harap insentif seperti ini berkekalan dan sentiasa ditambah baik mengikut keadaan semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Zari Mat Isa berharap urusan pendaftaran bagi mendapatkan manfaat tersebut dapat dipermudahkan melalui agensi setempat seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Petani bukannya orang kaya, kami memang mengharapkan insentif dan subsidi daripada kerajaan.

“Jika urusan pendaftaran kenderaan dan bantuan ini dimudahkan melalui PPK, ia sangat membantu kami yang bekerja di bendang ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi PPK Alor Mas, Zahri Omar berpendapat kenaikan drastik kadar IPKP itu akan menjadi perangsang utama kepada petani untuk terus meningkatkan produktiviti.

“Dengan bantuan terkini yang diluluskan kerajaan, Insya-Allah ia akan memberi motivasi semula kepada petani untuk mengusahakan sawah mereka dengan lebih tekun,” tambahnya.