
PUTRAJAYA, 15 April – Langkah kerajaan menaikkan bantuan BUDI Diesel Individu dan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP), bagi musim penanaman 2026 wajar disokong kerana ia dilihat sebagai medium dalam usaha meringankan perbelanjaan kos operasi serta menyokong rantaian bekalan makanan negara selain mendepani cabaran ekonomi global.
- YADIM menyeru rakyat menghargai keprihatinan kerajaan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
- Dari perspektif dakwah, langkah kerajaan selari dengan tuntutan Islam dalam mengurus sumber secara amanah dan mengagihkan kekayaan demi kemaslahatan ummah.
- Menyokong dan menghargai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat adalah tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat adil dan sejahtera.
- Kerajaan mengumumkan BUDI Diesel dinaikkan kepada RM400 sebulan dan IPKP dinaikkan kepada RM300 sehektar semusim.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr. Hasan Bahrom dalam satu kenyataan menyeru rakyat di negara ini menghargai keprihatinan kerajaan itu di samping terus memperkukuh semangat kebersamaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
“Dari perspektif dakwah, usaha itu selari dengan tuntutan Islam dalam mengurus sumber secara amanah serta mengagihkan kekayaan negara demi menjaga kemaslahatan ummah.
“Menyokong dan menghargai dasar yang membawa manfaat besar kepada rakyat adalah sebahagian daripada tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat yang adil dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan mengumumkan Kerajaan bersetuju menaikkan bantuan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan, serta kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP), bagi musim penanaman 2026 kepada RM300 sehektar semusim berbanding RM160 pada 2025.