fb fb fb fb fb

Kemalangan: Pemandu treler maut tersepit di tempat duduk

FOTO JBPM KEDAH

ALOR SETAR, 2 Julai- Seorang pemandu lori treler maut selepas lori yang dipandu merempuh belakang sebuah lagi lori treler.

Kejadian berlaku di Kilometer 62, Lebuhraya Utara Selatan dekat Alor Setar, Kedah, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 2.09 pagi yang memaklumkan berkaitan kemalangan jalan raya.

Beberapa buah jentera dari BBP Pendang dikerah ke lokasi kejadian.

Jentera tiba di lokasi enam minit kemudian.

Setibanya di lokasi, kejadian melibatkan dua buah lori treler dimana lori treler berwarna putih telah merempuh bahagian belakang sebuah lori treler berwarna biru.

Akibat rempuhan tersebut, pemandu lori treler berwarna putih tersepit di tempat duduk pemandu.

Pihak bomba menggunakan peralatan Resque Tools bagi mengeluarkan mangsa.

Mangsa yang berusia 25 tahun bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat pada pukul 4.37 pagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE