
JOHOR BAHRU, 26 April – Kegagalan kawalan kerja tanah di kawasan pembangunan berhampiran termasuk pengurusan hakisan dan kelodak yang tidak dikawal dengan baik, menjadi antara punca, kejadian banjir kilat di Jalan Kota Tinggi (FT003), Ulu Tiram, di sini, baru-baru ini.
- Pengumpulan sedimen dalam kolam tadahan mengurangkan kapasiti takungan, menyebabkan limpahan ke sistem perparitan dan jalan.
- Pemeriksaan mendapati kolam tadahan sedia ada tidak dapat menampung aliran air tinggi, mengakibatkan limpahan ke longkang dan jalan raya.
- Tindakan penguatkuasaan diambil, termasuk pengeluaran notis dan kompaun untuk memastikan pematuhan pelan kawalan hakisan dan sedimen.
- Tindakan segera dan jangka panjang: pembersihan parit utama serta saluran semula aliran pembangunan ke kolam tadahan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menerusi kenyataan memaklumkan, punca itu menyebabkan kelodak terkumpul dalam kolam tadahan sekali gus, mengurangkan kapasiti takungan air dan menyebabkan limpahan ke sistem perparitan serta jalan utama.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, kolam tadahan sedia ada tidak dapat menampung aliran air tinggi sehingga berlaku limpahan ke parit tepi jalan dan jalan raya.
“Isu kawalan aliran air juga belum optimum, berikutan sebahagiannya terus ke longkang utama tanpa melalui sistem tadahan sepatutnya,” menurut kenyataan itu.
Tindakan penguatkuasaan diambil dengan mengeluarkan notis serta kompaun, bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak.
Tindakan serta-merta turut dilaksanakan termasuk kerja pembersihan parit utama di sepanjang Jalan Kota Tinggi, bagi memastikan aliran air lancar dan mengurangkan risiko kejadian berulang.
“Bagi penyelesaian jangka sederhana dan panjang, beberapa langkah dipersetujui termasuk memastikan aliran air dari kawasan pembangunan disalurkan ke kolam tadahan, berbanding kaedah sebelum ini,” tambah kenyataan itu.