
SINTOK, 26 April – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) bertindak pantas dan tegas dalam menangani isu penyalahgunaan kad pengenalan mahasiswa yang digunakan bagi pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh pihak luar, baru-baru ini.
- MPP tekankan isu melibatkan amanah, integriti dan keselamatan identiti mahasiswa perlu ditangani dengan tegas.
- Isu tular, MPP menghubungi pemilik kenderaan dan mengadakan pertemuan awal untuk penjelasan.
- Dua pelajar dikenal pasti, dipanggil memberi keterangan serta membuat laporan rasmi kepada Jabatan Keselamatan universiti.
- UUM perketat pemantauan dan ambil tindakan terhadap kenderaan terlibat; mahasiswa diingatkan jaga dokumen pengenalan.
Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, insiden itu bukan sekadar melibatkan penyelewengan subsidi, malah menyentuh soal amanah, integriti serta keselamatan identiti mahasiswa yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kepimpinan mahasiswa memandang serius perkara tersebut dan komited memastikan sebarang bentuk salah guna melibatkan kebajikan serta identiti pelajar ditangani secara menyeluruh.
“Isu ini bukan hanya berkaitan subsidi, tetapi melibatkan kepercayaan dan keselamatan identiti mahasiswa. Ia perlu ditangani dengan tegas dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan kepada RTM.
Isu berkenaan tular pada 21 April lalu sebelum MPP UUM segera menghubungi pemilik kenderaan yang dikaitkan dan mengadakan pertemuan awal bagi mendapatkan penjelasan.
Susulan itu, dua pelajar dikenal pasti sebelum dipanggil untuk sesi pertemuan bersama MPP bagi memperincikan situasi sebenar. Kedua-duanya turut membuat laporan rasmi serta memberi keterangan kepada Jabatan Keselamatan universiti bagi membantu siasatan.
“Hasil perbincangan pada 23 April, pihak keselamatan UUM memutuskan untuk mengambil tindakan lanjut terhadap kenderaan terlibat selain memperketat pemantauan di sekitar kampus.
“Langkah itu mencerminkan keseriusan pihak universiti dan kepimpinan mahasiswa dalam mempertahankan integriti serta memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya lagi.
Muhammad Syahmi Iman dalam masa sama mengingatkan mahasiswa supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga dokumen pengenalan diri serta tidak sewenang-wenangnya membenarkan maklumat peribadi digunakan oleh pihak lain untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.