
HULU SELANGOR, 26 April – Penganjuran program Simfoni Dakwah–Sebarkan Salam menjadi antara langkah strategik dalam memperkukuh gerakan dakwah bersepadu, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu menumpukan usaha memperkasa penyampaian dakwah agar lebih tersusun, inklusif dan berkesan, selaras dengan keperluan komuniti setempat yang pelbagai.
“Insya-Allah, kita akan bawa program ini ke tempat lain kerana ia sangat dekat dengan masyarakat dan mampu menyentuh jiwa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian ‘Simfoni Dakwah-Sebarkan Salam’ di Felda Sungai Tengi, di sini.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu diyakini dapat mengangkat aspirasi Malaysia MADANI sebagai simbol penyatuan, kasih sayang dan kesejahteraan rakyat.
Pelbagai pengisian program bersifat holistik merangkumi aspek kerohanian, intelektual dan sosial dilaksanakan hasil kolaborasi strategik antara institusi dakwah, kerajaan dan komuniti.
Antaranya termasuk ‘Ziarah Sebarkan Salam’ di lapangan, Tahsin Ibadah di masjid, riadah futsal serta inisiatif penyerahan keluarga angkat melibatkan 10 ahli Rakan Siswa YADIM, Universiti Selangor bersama-sama masyarakat Felda.
Kemuncak program ialah persembahan nasyid dan tausiah oleh tokoh-tokoh pendakwah.