
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Sebarang usaha mengambil kawasan hijau di ibu negara bagi tujuan pembangunan komersial tidak seharusnya berlaku dan perlu dielakkan pada masa hadapan.
- Lindungi dan pelihara khazanah hijau ibu negara untuk generasi akan datang.
- Elakkan pembangunan komersial lanjut di Kuala Lumpur, tumpu usaha menghijaukan bandar.
- Kementerian dan DBKL menyumbang RM50,000 masing-masing untuk penanaman dan pemeliharaan pokok di Taman Tugu.
- Program libatkan agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti menanam pokok hutan asli menjaga ekosistem serta keselamatan jalan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, khazanah hijau wajar dilindungi dan dipelihara kerana jumlahnya terhad serta perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.
“Saya tidak mahu pada masa hadapan ada apa-apa usaha mengambil kawasan-kawasan hijau di Kuala Lumpur yang tidak akan bertambah, kalau kita tak jaga, untuk tujuan pembangunan.
“Saya fikir pembangunan komersial di Kuala Lumpur sudah mencukupi, jadi saya mahu memberi lebih tumpuan kepada usaha menghijaukan ibu negara,” katanya kepada pemberita pada Program Ambil Angkat Plot Taman Tugu hari ini.
Hannah berkata, kementeriannya mengambil inisiatif menyalurkan sebanyak RM50,000, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menyumbang RM50,000 bagi usaha menanam dan memelihara pokok di Taman Tugu.
Beliau berkata, usaha itu bertujuan menghijaukan ibu negara dengan memastikan pokok yang ditanam sesuai dengan cuaca serta tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Terdahulu, program tersebut yang menghimpunkan agensi kerajaan, sektor korporat, komuniti dan individu bertujuan memulihara serta menyelenggara Taman Tugu secara berterusan.
Menerusi program itu, setiap plot berukuran 3 meter x 3 meter akan ditanam dengan pokok hutan asli Malaysia bagi membantu mengekalkan ekosistem semula jadi di kawasan berkenaan.#