
KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Imam Besar al Azhar al Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad Al-Tayyeb membincangkan beberapa usaha baharu khususnya bagi memperkukuh hubungan Malaysia dengan Universiti Al-Azhar, Mesir serta menyuburkan gagasan Islam yang sederhana, bebas dan berwibawa.
- Anwar menghargai doa Al-Tayyeb; pembedahan laparoskopi berjalan lancar dan proses pemulihan berlangsung dengan baik, alhamdulillah.
- Perbualan membincangkan kesinambungan usaha dakwah dan pengajian bagi memperluas kefahaman Islam serta impak lawatan Al-Tayyeb sebelum ini.
- Anwar juga berbual dengan Mohamed Abdelsalam; perbualan menyentuh hasrat lawatan semula Al-Tayyeb dan pertukaran doa serta sokongan.
- Beliau menghargai penghormatan kepada isteri beliau sebagai wanita teladan, mendoakan kesembuhan serta memperkukuh kerjasama demi kemaslahatan umat.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon dengan Al-Tayyeb yang turut menyampaikan doa untuk kesembuhan dan keafiatan susulan keadaan kesihatan beliau baru-baru ini.
“Saya amat menghargai doa serta ingatan beliau dan memaklumkan bahawa pembedahan telah berjalan lancar, sementara proses pemulihan juga berlangsung dengan amat baik, alhamdulillah,” kata beliau.
Menurut Perdana Menteri, mereka turut membicarakan kesinambungan usaha dakwah dan pengajian dalam memperluas kefahaman Islam, selain menyingkap kembali kunjungan Al-Tayyeb ke Malaysia sebelum ini yang meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam di negara ini.
Beliau berkata kedua-dua pihak berharap dapat kembali bertemu di Kaherah atau Kuala Lumpur bagi meneruskan ikhtiar dakwah dan pengembangan ilmu demi kemaslahatan umat sejagat.
Datuk Seri Anwar berkata pandangan serta bimbingan Al-Tayyeb akan terus menjadi pedoman penting dalam mengangkat tradisi keilmuan Islam yang luhur dan membawa rahmat kepada seluruh umat.
Dalam hantaran lain, Datuk Seri Anwar turut berkongsikan perbualan telefon dengan Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin (Council of Muslim Elders), Mohamed Abdelsalam.
Hasrat Al-Tayyeb untuk kembali mengunjungi Malaysia antara perkara yang disentuh dalam perbualan tersebut malam tadi.
Datuk Seri Anwar berkata perbualan itu turut menyentuh beberapa ikhtiar baharu khususnya bagi memperkukuh hubungan Malaysia dengan al-Azhar serta menyuburkan gagasan Islam yang sederhana, bebas dan berwibawa.
Beliau berkata Mohamed Abdelsalam turut bertanyakan khabar dan menitipkan doa susulan keadaan kesihatannya baru-baru ini.

“Saya amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Al-Tayyeb,” katanya.
Perdana Menteri turut bertanyakan keadaan kesihatan isteri Mohamed Abdelsalam yang kini menerima rawatan di hospital serta mendoakan agar dikurniakan kesembuhan dan keafiatan segera.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap penghormatan yang diberikan kepada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sebagai sosok wanita teladan atas keteguhan, kesetiaan dan pengorbanannya sepanjang mendampingi perjuangannya.
“Insya-Allah, segala ikhtiar dan kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kemaslahatan umat dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia.