
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Permohonan penggajian pekerja asing kini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) di www.fwcms.com.my dan tidak lagi dilaksanakan secara manual atau hadir secara terus bermula hari ini.
- Penetapan tarikh temu duga dibuat melalui sistem bersama Agensi Kawal Selia, mengurangkan keperluan hadir berulang, tempoh menunggu dan menjadikan proses lebih tersusun.
- Permohonan kuota bermula dengan kelulusan awal bawah Seksyen 60K hingga Surat Kelulusan Bersyarat diperolehi dalam 14 hari tertakluk kepada pematuhan.
- Pembukaan kuota 15,000 sektor restoran diagihkan berperingkat; 5,000 sedang diproses case by case, baki 10,000 perlu dimohon melalui sistem.
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan memaklumkan, penetapan tarikh janji temu juga dibuat melalui sistem bagi sesi temu duga majikan bersama Agensi Kawal Selia (AKS).
Pendekatan itu sekali gus mengurangkan keperluan majikan untuk hadir berulang kali ke pejabat kerajaan, mengurangkan tempoh menunggu serta menjadikan keseluruhan proses lebih tersusun, mematuhi tadbir urus dan selesa kepada majikan.
“Proses permohonan kuota pekerja asing bermula daripada permohonan kelulusan awal menggajikan pekerja asing di bawah Seksyen 60K, Akta Kerja 1955 sehingga mendapat Surat Kelulusan Bersyarat (SKB) yang boleh diperolehi dalam tempoh 14 hari tertakluk kepada permohonan yang lengkap serta pematuhan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.
“Sejak perpindahan fungsi Pusat Setempat (OSC) dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke KESUMA, sebanyak 4,646 permohonan daripada majikan telah diterima dan sedang diproses,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun pendigitalan proses itu bukan bermaksud syarat penggajian pekerja asing dilonggarkan. Semua permohonan masih tertakluk kepada penelitian, undang-undang, syarat kelayakan, dasar penggajian pekerja asing serta semakan Agensi Kawal Selia (AKS) yang berkaitan.
Sementara itu, pendekatan pengagihan kuota secara berperingkat sedang dilaksanakan bagi memudahkan permohonan majikan susulan pembukaan kuota 15,000 pekerja asing dalam sektor restoran, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai lalu.
“Daripada jumlah itu, 5,000 kuota pekerja asing melibatkan 1,033 majikan yang telah melalui temu duga secara case by case sedang diproses untuk kelulusan.
“Sehubungan dengan itu, KESUMA menyarankan majikan yang telah melalui temu duga secara case by case melengkapkan permohonan mereka dalam sistem.
“Manakala, baki 10,000 kuota perlu dikemukakan secara permohonan baharu melalui sistem,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu cadangan mewujudkan Pusat Transit Pekerja Asing dengan mengambil kira isu kesesakan kemasukan pekerja asing di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang diperhalusi dan akan dimulakan melalui pelaksanaan projek rintis.
“KESUMA sentiasa menitikberatkan keperluan industri demi menyokong kelangsungan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi negara. Majikan disarankan agar mematuhi tadbir urus yang digariskan selaras dengan perundangan dan dasar semasa yang ditetapkan Kerajaan,” menurut kenyataan itu.