Jemaah haji diingatkan patuhi peraturan, rujuk maklumat berautoriti TH

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan

SEPANG, 18 April– Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia bagi musim 1447 Hijriah / 2026 Masihi selamat berlepas ke Tanah Suci pagi tadi, dengan peringatan khas agar sentiasa mematuhi peraturan dan bekerjasama rapat dengan petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Rujuk hanya maklumat sahih dan berautoriti, khususnya daripada Tabung Haji dan kerajaan, elakkan berita tanpa sumber jelas.
  • Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia musim ini.
  • Jemaah diminta membuat persediaan kesihatan rapi, termasuk latihan stamina, terutamanya bagi yang mempunyai rekod pembedahan atau masalah kesihatan.
  • Penghargaan dirakamkan kepada kerajaan Arab Saudi atas inisiatif seperti Nusuk Card dan Makkah Route yang memudahkan urusan jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan turut menasihati jemaah supaya peka dengan perkembangan semasa serta hanya merujuk kepada sumber maklumat yang sahih.

“Sentiasa ikuti perkembangan semasa dan pastikan maklumat diperolehi daripada sumber sahih serta berautoriti, khususnya daripada Tabung Haji dan pihak kerajaan. Jangan mudah mempercayai berita yang tidak ditentukan sumbernya,” kata Dr. Zulkifli selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhel  R.Al – Ahmadi dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Penerbangan sulung tersebut membawa seramai 284 jemaah menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH8050) pada pukul 4.05 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdul Aziz, Madinah pada pukul 7.05 pagi waktu tempatan.

Bagi musim haji tahun ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan melalui AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines untuk membawa keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia.

Penerbangan terakhir dijadualkan berlepas pada 20 Mei depan manakala Dr. Zulkifli sendiri dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 19 Mei.

“Panggilan ini adalah panggilan Ilahi untuk menjadi Duyyufurrahman pada usia muda. Saya sedar banyak tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul, terutamanya sebagai pemuda, untuk membantu jemaah lain di Tanah Haram nanti. Pelbagai emosi bercampur baur ketika ini, namun insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk mendapat haji yang mabrur,” kata Arif Danial Abdul Rahim.

“Apabila mendapat tahu akan menunaikan fardu haji, saya terus membuat persediaan rapi terutama dari segi kesihatan. Memandangkan saya pernah menjalani pembedahan jantung, stamina amat penting. Saya mengamalkan rutin jogging dua hingga tiga kali seminggu dengan jarak tiga hingga empat kilometer sebagai persediaan fizikal,” kata Salehuddin Sabran.

Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi dengan pelaksanaan inisiatif serta program seperti Nusuk Card dan Makkah Route yang memasuki tahun ke lapan.