Hishammuddin, Khairy Jamaluddin antara 6,252 ahli sertai semula UMNO

Foto BERNAMA

AYER KEROH, 18 April– UMNO secara rasmi menerima semula 6,252 bekas pimpinan dan ahli yang sebelum ini pernah dipecat, digantung atau keluar daripada parti secara sukarela.

RINGKASAN BERITA AI
  • UMNO menerima kembali tokoh besar seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin.
  • MKT menyokong gagasan Rumah Bangsa dipengerusikan Presiden untuk menerima tanpa syarat ahli yang kembali.
  • Permohonan rasmi dikendalikan Jawatankuasa Rumah Bangsa dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin termasuk Tan Sri Syed Hamid.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara nama besar yang diterima kembali termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat tanpa sebarang syarat hasil Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat (17 April).

“Ahli Majlis Kerja Tertinggi menyokong dan mendukung penuh gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang dipengerusikan oleh YAB Presiden UMNO untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang pernah digantung, dipecat, atau keluar atas apa jua faktor.”

“Kita telah memutuskan antara nama pemohon yang telah memohon secara rasmi kepada Jawatankuasa Rumah Bangsa dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin termasuklah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar serta 6,252 bekas pimpinan dan ahli di peringkat UMNO Bahagian dan cawangan seluruh Malaysia,” kata Datuk Dr. Asyraf kepada pemberita, pada Jumaa (17 April).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat MKT UMNO di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Terdahulu, pada 16 Mac lalu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan telah menghantar permohonan rasmi untuk kembali menyertai UMNO, langkah yang kemudiannya turut diikuti oleh Khairy Jamaluddin.