
TAIPING, 25 November – Seorang pembantu kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya.
- Nurul Iman didakwa membunuh bayi perempuannya di kebun kelapa sawit di Kampung Panchor antara 14 hingga 16 November lalu.
- Nurul Iman dan teman lelakinya, Mohamad Aidil Eikmal, didakwa menyembunyikan kelahiran bayi dengan mengebumikan mayatnya secara sulit. Mohamad Aidil mengaku bersalah, manakala Nurul Iman minta dibicarakan.
- Kedua-duanya dibenarkan diikat jamin RM5,000 setiap seorang. Hukuman terhadap Mohamad Aidil dan sebutan semula kes bunuh ditetapkan pada 4 Januari.
Remaja berusia 19 tahun itu turut didakwa bersama teman lelakinya atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi berkenaan.
Nurul Iman Najiha Abdullah didakwa membunuh bayi perempuan yang juga anak kandungnya di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Panchor, Pantai Remis, antara 14 hingga 16 November lalu.
Tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan membunuh itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, Nurul Iman bersama Mohamad Aidil Eikmal, 19 tahun, didakwa menyembunyikan kelahiran bayi itu dengan mengebumikan mayatnya secara sulit.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mohamad Aidil mengaku bersalah, manakala Nurul Iman minta dibicarakan.
Majistret R. Prabakaran membenarkan kedua-duanya diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang bagi pertuduhan berkenaan.
Mahkamah menetapkan 4 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Aidil serta sebutan semula kes bunuh yang dihadapi Nurul Iman.