
KUALA LUMPUR, 25 November – Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pembelian 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner bagi memperkukuh operasi penerbangan jarak jauh, sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan armada.
- Perjanjian turut merangkumi pilihan pemerolehan enam pesawat tambahan, dengan penghantaran dijadualkan antara 2032 hingga 2035.
- Malaysia Airlines bakal menjadi syarikat penerbangan pertama di negara ini yang mengoperasikan Boeing 787 Dreamliner.
- Pesawat baharu itu akan menggantikan secara berperingkat tujuh Airbus A350 sedia ada antara 2032 hingga 2035.
- Pesawat berkapasiti 319 tempat duduk itu dijangka berkhidmat untuk laluan antarabangsa utama ke Eropah dan Asia Pasifik.
Pembelian secara langsung daripada Boeing itu turut merangkumi pilihan pemerolehan enam pesawat tambahan, dengan penghantaran dijadualkan antara 2032 hingga 2035.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, pemerolehan itu merupakan pelaburan strategik bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan berkenaan.
“Pesawat ini akan memperkukuh keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pasaran antarabangsa utama dengan kapasiti, kecekapan dan fleksibiliti yang lebih baik, di samping menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih berkualiti sebagaimana diharapkan pelanggan,” katanya.
Menerusi pemerolehan itu, Malaysia Airlines bakal menjadi syarikat penerbangan pertama di negara ini yang mengoperasikan pesawat berkenaan.
Pesawat itu juga akan menggantikan secara berperingkat tujuh pesawat Airbus A350 sedia ada antara 2032 hingga 2035.
Pesawat berkapasiti 319 tempat duduk itu dijangka digunakan bagi laluan antarabangsa utama ke Eropah dan Asia Pasifik, termasuk London, Paris, Sydney, Melbourne, Tokyo, Osaka dan Seoul.
Majlis menandatangani perjanjian pemerolehan itu berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.