
KUALA BESUT, 1 Mac – Fasiliti strategik Hub Pengumpulan, Pemprosesan, Penyimpanan dan Pengedaran Ikan (HPPPP) Wilayah Timur membantu memendekkan rantaian pemasaran hasil laut, mengurangkan peranan orang tengah serta menstabilkan harga ikan di pasaran.
- HPPPP memendekkan rantaian pemasaran, mengurangkan peranan orang tengah dan membantu kestabilan harga ikan.
- Fasiliti bersaiz besar dengan bilik sejuk dingin mengekalkan kesegaran dan menyusun pengurusan lambakan hasil laut.
- Stok penimbal di HPPPP memastikan bekalan ikan mencukupi terutama semasa musim tengkujuh.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek bernilai RM5.81 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) itu dilengkapi dengan bilik sejuk dingin dan telah mula beroperasi sejak awal Januari 2025.
Menurut beliau, HPPPP yang berkeluasan lebih 9,000 kaki persegi itu bukan sahaja berperanan melindungi kepentingan nelayan dan pengguna, malah memastikan pengurusan lambakan hasil laut dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan sistematik.
Tambahnya, fasiliti berkenaan turut membantu mengekalkan tahap kesegaran ikan serta menjamin bekalan protein negara mencukupi, khususnya ketika musim tengkujuh.
“Ikan-ikan daripada Besut dan ada juga ikan daripada luar yang disimpan di sini. Bila berlaku kekurangan ikan, LKIM akan mengeluarkan ikan-ikan itu untuk memenuhi pasaran tempatan. Kira stok penimbal lah dekat sini,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan bersempena Majlis Sentuhan AgroMADANI dan Iftar di Kompleks LKIM Besut.
Sementara itu, Pengerusi PNK Besut, Tengku Harun Tengku Ismail berkata pembukaan hab tersebut dapat mengatasi masalah kejatuhan harga serta lambakan ikan.