Lebih 6,000 anggota ATM kawal sempadan sepanjang Ramadan

FOTO RTM

KOTA TINGGI, 1 Mac – Lebih 6,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada tiga cabang; darat, laut dan udara, ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kesiagaan di sempadan dan perairan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi ATM berjalan 24 jam sepanjang Ramadan untuk memantau sempadan darat, perairan dan lokasi strategik.
  • Rondaan dan pemerhatian diteruskan tanpa kompromi walaupun sebahagian besar anggota berpuasa.
  • Perkukuhan kerjasama dengan PDRM dan agensi lain serta penggunaan dron tingkatkan keberkesanan operasi.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, operasi dilaksanakan 24 jam sehari termasuk sepanjang bulan Ramadan bagi memantau kawasan sempadan daratan, perairan serta lokasi strategik.

“Keadaan kita dalam keadaan aman sekarang, amannya itu disebabkan oleh keberadaan kita dalam menjaga keselamatan.

“Tenangnya kita dalam menyambut bulan Ramadan dan sedikit masa lagi kita nak menyambut Hari Raya ataupun Aidilfitri, keamanan itu terjamin disebabkan keberadaan akan tentera ataupun anggota-anggota saya yang menjalankan tugas 24 jam menentukan negara kita ni selamat,” katanya.

Menurut beliau, meskipun sebahagian besar anggota berpuasa, rondaan dan pemerhatian tetap diteruskan tanpa kompromi.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Tanjung Sepang di bawah kendalian Briged Ketujuh Infantri Malaysia.

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau pencapaian operasi termasuk kejayaan tangkapan oleh unit renjer serta penggunaan dron bagi memantau potensi pendaratan haram.

Tambahnya, penambahbaikan berterusan dilakukan termasuk memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain bagi meningkatkan keberkesanan perisikan serta menutup jurang operasi antara pos.

Terdahulu, beliau turut berbuka puasa bersama pegawai dan anggota yang bertugas di pos berkenaan.