
BANDAR PENAWAR, 1 Mac – Modul latihan melibatkan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) kini sedang dikaji semula oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan sebarang insiden tidak berulang pada masa hadapan.
- Kajian semula modul latihan PALAPES untuk pastikan peraturan, prosedur dan aktiviti dirombak bagi mengelak insiden berulang.
- Penelitian terperinci terhadap latihan fizikal termasuk menembak, kecergasan, tempur dan kawad untuk kenal pasti punca buli atau keterlaluan.
- ATM tidak campur tangan dalam siasatan, menyerahkan kepada mahkamah serta memastikan kebajikan dan hak anggota terpelihara.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, semakan menyeluruh akan dilakukan terhadap peraturan, prosedur serta aktiviti latihan yang dilaksanakan.
Menurut beliau, latihan ketenteraan sememangnya bersifat mencabar di semua peringkat, namun ia tetap perlu dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Memang bila masuk tentera ini, di peringkat pelapis, perajurit, rekrut atau kadet, proses pembelajaran dan latihan agak keras, tetapi pengajaran adalah berdasarkan prosedur, apa yang boleh dan apa yang tidak.
“Jika ada pelanggaran terhadap garis panduan yang telah ditetapkan atau latihan dilaksanakan melebihi ketetapan, maka kita mempunyai proses dalaman dalam jabatan untuk mengambil tindakan,” katanya.
Menurut beliau, penelitian turut akan dibuat terhadap modul latihan fizikal termasuk latihan menembak, kecergasan, tempur dan kawad bagi mengenal pasti punca berlakunya insiden tidak diingini seperti unsur buli atau keterlaluan dalam latihan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes tiga jurulatih PALAPES yang didakwa di Mahkamah Seksyen pada Sabtu atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pegawai kadet PALAPES.
Tegasnya, ATM tidak akan campur tangan dalam perjalanan siasatan kerana menghormati sistem perundangan negara.
Sebaliknya, ATM menyerahkan sepenuhnya kepada proses mahkamah dan akan memberikan kerjasama yang diperlukan.
Dalam masa sama, ATM memastikan kebajikan serta hak anggota terlibat terus dipelihara termasuk memudahkan urusan persediaan mereka menghadapi proses perundangan tanpa menjejaskan prinsip keadilan.