Sultan Perak santuni media, NGO dan korporat di Istana Iskandariah

FOTO BERNAMA

KUALA KANGSAR, 1 Mac – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama media, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan belia di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Nazrin sertai bacaan tahlil, solat maghrib, isyak dan tarawih bersama tetamu di Istana Iskandariah.
  • Baginda terima zakat perniagaan lebih RM5.4 juta daripada lapan syarikat dan dua individu untuk ZAPAR.
  • Hadir sama pemimpin kerajaan, pegawai penyiaran serta peneraju korporat dan media negeri Perak.
  • Majlis tonjolkan peranan institusi diraja dalam mengukuhkan ukhuwah dan semarakkan Ramadan bersama masyarakat.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail; Pengarah Penyiaran Malaysia Negeri Perak, Karim Sadiran; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Rafiq Mat Razali dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Karangkraf, Zamri Rambli.

Terdahulu, sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, Sultan Nazrin berkenan menyertai bacaan tahlil, diikuti solat isyak dan tarawih bersama para tetamu.

Baginda turut berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah lebih RM5.4 juta daripada lapan syarikat korporat dan dua individu untuk disalurkan kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR).

Antara penyumbang ialah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Lembaga Jurukur Tanah Malaysia, Boustead Plantations Berhad dan CelcomDigi Berhad selain beberapa agensi serta individu persendirian.

Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja dalam memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan Ramadan bersama pelbagai lapisan masyarakat di negeri Perak.