
KUALA LUMPUR, 10 September – Hasil perbincangan dan keputusan Jawatankuasa Kerja Khas bagi menangani jenayah penipuan dalam talian (scam) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
- Tindakan susulan akan dilaksanakan berdasarkan input jawatankuasa khas.
- Jawatankuasa mengenal pasti kelompongan undang-undang dan perlu memperkukuh kerjasama antara agensi.
- Keunikan penglibatan bank komersial, telco dan platform seperti TikTok dalam semakan dan siasatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata tindakan susulan akan dilaksanakan selepas mengambil kira input daripada jawatankuasa khas tersebut.
Beliau berkata, jawatankuasa telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan penelitian, termasuk mengenal pasti kelompangan dalam undang-undang serta keperluan memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan.
“Jawatankuasa kerja ini unik sebab buat pertama kalinya kita ada penglibatan bank-bank komersial, penglibatan Telco dalam jawatankuasa tersebut termasuk salah satu daripada banyak platform, TikTok, termasuk dalam jawatankuasa itu.
“Jadi mereka buat pertama kali meneliti sama ada kelompangan dalam undang-undang ataupun kerjasama antara agensi termasuk Jabatan Peguam Negara, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan pihak-pihak yang terlibat dalam proses siasatan,” katanya.
Terdahulu, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan kerajaan pada 18 Jun, susulan satu pemukiman yang membincangkan isu berkaitan jenayah penipuan dalam talian serta kebimbangan terhadap peningkatan kes berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan M360 ASEAN di ibu negara.