Kuota BUDI95, BUDI Diesel kekal walaupun harga minyak mentah naik

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto RTM

KAJANG, 10 September – Kerajaan akan terus mengekalkan kuota BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada 300 liter sebulan dan kuota BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan ketika ini, meskipun berdepan ketidaktentuan harga minyak mentah global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengekalkan kuota BUDI95 dan BUDI Diesel walaupun menghadapi ketidaktentuan harga minyak mentah global.
  • Menteri Kewangan II tegas kerajaan komited membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup walaupun subsidi meningkat.
  • Harga Brent melonjak melepasi AS$100 setong susulan ketegangan antara AS dan Iran, mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi dan kadar faedah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Beban untuk kerajaan memang besar. Sebelum isu Asia Barat, belanjawan negara menunjukkan perbelanjaan subsidi minyak tahun ini dalam lingkungan RM15 bilion.

“Sekarang, anggaran kita ialah RM40 bilion kerana berlaku kenaikan harga minyak.Tapi kita akan terus berusaha kerana komitmen untuk membantu dan meringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2026, di sini, hari ini.

Semalam, harga minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$100 setong buat kali pertama sejak akhir Julai susulan ketegangan baharu Amerika Syarikat (AS)-Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kenaikan inflasi dan kadar faedah.

Brent meningkat lebih tiga peratus kepada AS$101.21 (RM411.86) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) AS naik melepasi AS$96 kepada AS$96.05 (RM390.87) setong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.