
KUALA LUMPUR, 10 September – Malaysia perlu melihat sektor penjagaan kesihatan sebagai infrastruktur ekonomi bagi menyokong produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, menarik pelaburan serta mengukuhkan kedudukan negara dalam ekonomi penjagaan kesihatan serantau.
- Pembangunan sektor kesihatan perlu memenuhi keperluan rakyat dan turut menyokong pertumbuhan ekonomi.
- Sistem kesihatan cekap, digital dan tadbir urus baik menjana pekerjaan berkemahiran tinggi serta menarik pelaburan.
- Teknologi AI dilihat sebagai pemudah cara untuk tingkatkan kecekapan, optimakan kapasiti dan kurangkan beban pentadbiran.
- Kerjasama awam-swasta dan MoU data pemantauan glukosa menyokong inovasi diabetes berasaskan AI untuk intervensi awal.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan sektor kesihatan bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Penjagaan kesihatan perlu dilihat sebagai infrastruktur ekonomi. Penduduk yang lebih sihat akan lebih produktif, berdaya tahan dan mampu terus menyumbang kepada ekonomi serta masyarakat untuk tempoh kehidupan yang lebih panjang. Sistem kesihatan yang cekap, didayakan teknologi digital dan ditadbir urus dengan baik juga mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, menyokong inovasi dan menarik pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Malaysia Healthcare Summit 2026 bertemakan “Aligning Private Sector Growth with National Health Priorities”, di sini, hari ini.
Datuk Seri Mohd Shahar berkata perubahan keperluan sistem kesihatan negara turut membuka ruang kepada sektor swasta untuk membangunkan penyelesaian yang bukan sahaja memenuhi keperluan domestik, malah berpotensi dikembangkan ke pasaran serantau.
Dalam aspek kecerdasan buatan (AI), beliau berkata teknologi itu perlu dilihat sebagai pemudah cara praktikal untuk meningkatkan kecekapan sistem kesihatan, mengoptimumkan kapasiti serta mengurangkan beban pentadbiran.
Katanya, perkembangan berkenaan turut membuka peluang kepada Malaysia membangunkan penyelesaian teknologi tempatan dalam sektor kesihatan.
“Di bawah Kerangka Pembangunan Negara AI dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Malaysia menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai hab serantau pengeluaran teknologi digital serta membangunkan lebih banyak produk dan perkhidmatan ‘Buatan Malaysia’. Sektor penjagaan kesihatan menyediakan pasaran praktikal bagi mencapai aspirasi itu,” katanya.
Beliau berkata peluang tersebut termasuk pembangunan peranti perubatan, peralatan bantuan serta penyelesaian berasaskan teknologi bagi memenuhi keperluan golongan berusia, dengan potensi untuk dikembangkan ke pasaran domestik dan serantau.
Pada majlis sama, KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Centre for AI Innovation, Global (CEAI Global) dan Diabetes Malaysia turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penjagaan diabetes berasaskan AI menerusi platform MedGiver CGM.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penggunaan data pemantauan glukosa secara berterusan bagi menghasilkan maklumat klinikal yang dapat membantu mengenal pasti pola glukosa dan menyokong intervensi awal di bawah pemantauan profesional kesihatan.
Malaysia Healthcare Summit 2026 anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific itu menghimpunkan pembuat dasar, pengawal selia, pemimpin sektor kesihatan swasta, syarikat insurans, pelabur, pengamal perubatan dan pakar teknologi bagi membincangkan hubungan antara pertumbuhan sektor swasta dengan keutamaan kesihatan negara.