Nahas helikopter: KKM tunggu pengesahan rasmi DNA sebelum tentukan tindakan lanjut

Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Sarawak

KUALA LUMPUR, 10 September – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu pengesahan rasmi berhubung laporan asid deoksiribonukleik (DNA) lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Sarawak sebelum menentukan sebarang tindakan lanjut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Pengarah Kesihatan akan menjelaskan proses seterusnya selepas menerima maklumat rasmi.
  • Menteri masih menunggu kenyataan rasmi sebelum memberikan penjelasan lanjut.
  • Pesuruhjaya Polis Sarawak menerangkan tatacara susulan; identiti mangsa dikenal pasti melalui pengecaman barangan peribadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab akan memberikan penjelasan mengenai proses seterusnya sejurus menerima semua maklumat rasmi itu.

“Setelah kita menerima semua maklumat secara rasmi, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mahathar Abd Wahab, akan memberikan penjelasan dan saya sendiri juga masih menunggu kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

“Walaupun kita sudah mendengar mengenainya, namun setakat ini kita masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi,” katanya.

Beliau memaklumkannya pada sidang media Mesyuarat Menteri- Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM17) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Mahathar berkata, prosedur dan perkembangan terkini berkaitan insiden berkenaan turut telah dijelaskan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

“Semalam Ketua Polis Sarawak telah pun mengeluarkan kenyataan dan dalam kenyataan tersebut, jelas dinyatakan tatacara serta proses-proses yang akan dilaksanakan seterusnya.

“Justeru, saya berharap kenyataan daripada Ketua Polis Sarawak berhubung perkara itu sudah memadai sebagai pemakluman kepada semua pihak,” ujarnya.

Semalam Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan kesemua identiti mangsa nahas helikopter yang dikenal pasti melalui pengecaman barangan peribadi yang berada pada jasad mangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.