
PUTRAJAYA, 10 September – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya gesaan terbaharu rejim Zionis Israel untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari Semenanjung Gaza.
- Malaysia menolak sebarang pemindahan paksa atau penempatan semula rakyat Palestin dari tanah air mereka.
- Mengutuk keganasan dan pemusnahan harta oleh pendatang haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
- Tindakan sedemikian melanggar undang-undang antarabangsa, mengukuhkan pendudukan dan memperluas penempatan haram.
- Seru komuniti antarabangsa termasuk UNSC ambil tindakan konkrit serta sokong hak Palestin bagi negara merdeka pra-1967.
Kecaman itu termasuk tindakan keganasan berterusan oleh pendatang haram Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat serta Bailtulmaqdis Timur.
Kementerian Luar menerusi kenyataan berkata Malaysia menolak sebarang cubaan untuk memindahkan secara paksa atau menempatkan semula rakyat Palestin dari tanah air mereka.
“Pembunuhan, ugutan, pemusnahan harta benda dan pemindahan secara paksa oleh pendatang haram Israel merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Tindakan sedemikian terus mengukuhkan pendudukan, memperluas penempatan haram Zionis secara sistematik serta merampas tanah milik rakyat Palestin”, menurut kenyataan itu.
Malaysia menegaskan bahawa Semenanjung Gaza merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) dan menolak sebarang usaha untuk mengubah komposisi demografi atau geografinya.
“Malaysia juga menolak usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki melalui peluasan penempatan dan keganasan pendatang haram,”.
Malaysia turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan pencabulan berkenaan sekali gus memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan serta melindungi rakyat Palestin.
“Malaysia menegaskan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk terus kekal di tanah mereka dan untuk menubuhkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan itu.