Gas dikesan di tapak projek NCH

Foto hiasan

LAWAS, 10 Jun – Penduduk Kampung Dato Kuala Lawas di sini cemas apabila gas dikesan keluar dari dalam tanah di tapak pembinaan projek Lebuh Raya Persisir Utara (NCH) tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Punca dipercayai: aktiviti penggerudian kontraktor pada kedalaman kira-kira 45 meter menyebabkan pelepasan gas dari tanah.
  • 10 anggota bomba, FRT, EMRS dan kenderaan pacuan empat roda digerakkan; sawar keselamatan dipasang dalam radius 30 meter.
  • Kerja penggerudian dihentikan sementara untuk penilaian lanjut; pemantauan berterusan dijalankan dan tiada kecederaan dilaporkan.

Ketua Bomba Zon 7 Limbang, Ramlan Marajan mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi RTM.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.33 tengah hari sebelum menggerakkan 10 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lawas bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT).

“Satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk menjalankan operasi pemantauan,” katanya.

Hasil laporan, kejadian dipercayai berpunca daripada aktiviti penggerudian oleh pihak kontraktor di tapak pembinaan berkenaan, pada kedalaman dianggarkan 45 meter.

Setakat pukul 1.25 petang, pelepasan gas pada permukaan tanah dilaporkan masih aktif. Susulan itu, pasukan bomba mengambil langkah segera dengan memasang sawar keselamatan dalam radius 30 meter dari lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pekerja dan orang awam.

Pemantauan berterusan sedang dilakukan bagi memastikan keadaan sekitar kekal selamat dan terkawal.

Pihak kontraktor dinasihatkan menghentikan sementara semua kerja penggerudian, sehingga penilaian lanjut dan pemantauan keselamatan selesai dijalankan. Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.