
TOKYO, 10 Jun- Malaysia dan Jepun terus memperkukuh kerjasama strategik menerusi perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) selama 20 tahun yang dimeterai antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan syarikat utiliti Jepun, JERA hari ini.
- Perjanjian membolehkan dua juta tan LNG dibekalkan ke Jepun setiap tahun bermula 2028.
- Anwar menyifatkan kerjasama itu sebagai pencapaian penting yang mencerminkan kepercayaan dan hubungan erat kedua negara.
- Ia mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala dan memperluas kerjasama dalam sektor tenaga sebagai tunjang hubungan.
- Usaha memperluas pengaturan kewangan termasuk penggunaan ringgit dan yen, dengan persefahaman antara BNM dan Bank of Japan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian antara Petronas dan JERA itu membolehkan dua juta tan LNG dibekalkan ke Jepun setiap tahun bermula 2028.
Beliau menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pencapaian penting yang mencerminkan tahap kepercayaan serta hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Ini merupakan satu pencapaian luar biasa dan kejayaan dari segi kepercayaan serta kerjasama antara dua negara sahabat yang hebat,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya, Sanae Takaichi di Pejabat Perdana Menteri Jepun di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, kerjasama berkenaan bukan sahaja mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, malah memperluas kerjasama dalam sektor tenaga yang menjadi antara tunjang hubungan Malaysia-Jepun.
Dalam sidang media sama, beliau turut menyentuh mengenai usaha memperluas pengaturan kewangan antara kedua-dua negara termasuk penggunaan mata wang tempatan dalam transaksi perdagangan.
Katanya, penggunaan ringgit dan yen secara lebih meluas mampu meningkatkan kebergantungan ekonomi serta memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.
Beliau turut menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Japan berhubung perkara tersebut.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Tokyo selama tiga hari yang berakhir hari ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun dalam pelbagai bidang strategik.