fb fb fb fb fb

Empat penjenayah maut ditembak, lima ditahan - PDRM

Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Empat penjenayah disyaki anggota kumpulan penculik, maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis dalam dua kejadian berasingan di Skudai, Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kumpulan itu dipercayai terlibat dalam kes penculikan dua individu bulan lalu membabitkan pembayaran wang tebusan dalam bentuk Bitcoin sebanyak AS$1.16 juta (RM5.45 juta).

Kejadian penculikan melibatkan dua mangsa yang merupakan seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan pada 11 Julai lalu.

Kedua-dua mangsa telah dibebaskan pada 15 Julai di sekitar Negeri Sembilan, selepas adik mangsa (warga China) itu membayar wang tebusan kepada suspek.

"Suspek berjaya dikenal pasti hasil siasatan dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis.

"Salah seorang suspek yang sedang memandu kereta di kawasan Jalan Skudai-Gelang Patah, Johor mati dalam insiden tembak-menembak.

"Semakan mendapati, suspek berusia 51 tahun dan mempunyai enam rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah, selain pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah," katanya menerusi sidang media di sini.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut membawa kepada satu lagi serbuan terhadap tiga lagi suspek di sebuah rumah di Taman Impian Emas, Skudai pada pukul 12.05 tengah malam tadi.

"Dan apabila kita memasuki rumah tersebut kita telah dihujani atau ditembak dan kita membalas tembakan.. ketiga-tiga penghuni rumah itu juga tumpas mati ditembak.. kita telah menemui dua pucuk senjata dan satu parang dalam konteks mereka menyerang pihak polis.

"Berdasarkan siasatan awal pihak polis mendapati kumpulan tersebut hanya terlibat dengan satu kes culik dan sedang menyiasat di mana wang tebusan yang dibayar itu disimpan.

"Manakala kita telah memberkas lima orang lagi untuk membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM