Dua beradik lemas di Sungai Paka, sempat bergurau bersama bapa sebelum tragedi

Bapa mangsa lemas, Mohd Zul Zunaidi Mohd Baldin/Foto RTM

DUNGUN, 24 Mei – Gurauan mesra yang tidak pernah ditunjukkan sebelum ini menjadi kenangan terakhir bagi seorang bapa terhadap dua anaknya yang ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Paka, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua beradik berusia 15 dan 14 tahun hilang selepas bergelut dalam air ketika mandi bersama dua rakan, kira-kira pukul 10.50 pagi.
  • Rakan berkata mereka tidak menyedari kedalaman air kerana itu kali pertama berkunjung ke kawasan berhampiran jeti.
  • Seorang rakan cuba membantu dengan menarik mangsa, tetapi panik berlaku apabila adik memegang abang hingga kedua-duanya sukar bernafas.
  • Mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling; berada dalam cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidiladha.

Bapa mangsa, Mohd Zul Zunaidi Mohd Baldin, 40, berkata perubahan tingkah laku kedua-dua anaknya itu, termasuk lebih mesra dan sering bergurau dengannya, mencetuskan perasaan hiba yang sukar digambarkan.

“Kami melihat mereka berdua seperti biasa, namun pada Jumaat lalu, ketika pulang selepas mandi, mereka sempat bergurau dengan saya.

“Kebiasaannya, dua beradik itu jarang bergurau bersama, sebaliknya lebih banyak berjenaka secara bersendirian.

“Kali terakhir mereka pulang ke rumah adalah ketika Hari Raya Aidilfitri lalu kerana kedua-duanya tinggal di asrama,” katanya kepada pemberita di lokasi pencarian mangsa di Kampung Beril.

Sementara itu, dua rakan mangsa yang turut berada di lokasi kejadian tidak dapat menahan kesedihan apabila usaha menyelamatkan kedua-dua beradik tersebut gagal.

Salah seorang rakan, Mohd Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi, berkata mangsa dipercayai tidak menyedari kedalaman air di kawasan berhampiran jeti kerana kali pertama berkunjung ke situ.

“Kejadian berlaku apabila abang terjun terlebih dahulu diikuti adiknya sebelum kedua-duanya dilihat bergelut di dalam air,” katanya.

Seorang lagi rakan, Mohd Afi Naashif Adli Noone, berkata dia sempat cuba membantu dengan meminta mangsa berpaut pada tangannya, namun keadaan menjadi panik apabila adik mangsa turut memegang abangnya sehingga menyebabkan kedua-duanya sukar bernafas sebelum tenggelam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 15 dan 14 tahun dipercayai ke sungai berkenaan bersama dua rakan untuk mandi.

Mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling, Kuala Terengganu dan berada dalam tempoh cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidiladha.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.