
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong pelajar Tingkatan Enam, walaupun pengurusan program prauniversiti bakal diselia sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
- Fadhlina merakamkan penghargaan dan berkata dia akan merindui pelajar Tingkatan Enam yang sangat berdedikasi.
- Penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam Kebangsaan melalui pilihan raya memberi ruang kepimpinan pelajar.
- Program diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi awam seperti USM dan UKM.
- Bantuan Awal Persekolahan, pengembangan Kolej Tingkatan Enam dan peruntukan RM50,000 setahun kepada jawatankuasa pelajar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan ketetapan kerajaan untuk meletakkan semua program prauniversiti di bawah kendalian KPT.
Menurut beliau, peralihan itu tidak menjejaskan penghargaan dan sokongan yang telah diberikan kepada pelajar Tingkatan Enam selama ini.
“Barangkali ini ucapan terakhir saya bersama anak-anak Tingkatan Enam. Selepas ini mereka akan diserahkan kepada kementerian yang baharu di bawah KPT.
“Pastinya saya akan merindui anak-anak Tingkatan Enam yang sangat berdedikasi dan sentiasa mendukung aspirasi pendidikan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sepanjang tempoh pentadbirannya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkasa pendidikan Tingkatan Enam, termasuk penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam Kebangsaan melalui mekanisme pilihan raya bagi memberi ruang kepada pelajar memilih kepimpinan sendiri.
Selain itu, program Tingkatan Enam turut diperkukuh melalui kolaborasi strategik bersama institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
KPM juga menyediakan Bantuan Awal Persekolahan kepada pelajar Tingkatan Enam serta memperluaskan penubuhan Kolej Tingkatan Enam di seluruh negara.
Dalam usaha memperkasakan kepimpinan pelajar, peruntukan sebanyak RM50,000 setahun turut disalurkan kepada Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam Kebangsaan.
Sementara itu, Fadhlina turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran Kongres Prauniversiti peringkat negeri Pulau Pinang.
Beliau berharap platform tersebut terus menjadi medium penting dalam menyuarakan pandangan pelajar, sekali gus memainkan peranan signifikan dalam mengangkat martabat sistem pendidikan negara.