KUALA LUMPUR, 4 April – Perjalanan kerjaya politik dan hala tuju merapatkan hubungan dua hala Malaysia – Indonesia antara perkara dibincangkan dalam pertemuan singkat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.
Kunjungan hormat Prabowo di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatan khas sehari pemimpin itu ke Malaysia.
“Momen ini kami gunakan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat mengenai karier masing-masing dan hala tuju seterusnya dalam merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia,” jelas Anwar di Facebook rasmi beliau.
Anwar turut menyatakan Prabowo pernah melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Kuala Lumpur.
“Perjalanan karier politik kami yang hampir sama apabila diuji dengan pelbagai cabaran sebelum dilantik, juga menjadi topik perbincangan santai selain diselang-seli dengan kisah Prabowo sewaktu beliau melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur,” menurut status sama.
“Saya sempat titipkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Prabowo yang bakal dilantik sebagai Presiden Indonesia Kelapan.
“Semoga hubungan persahabatan Malaysia-Indonesia terus erat dan diperkukuh demi kebaikan bersama di masa hadapan,” kata Anwar.
ARTIKEL BERKAITAN
PM terima kunjungan hormat Prabowo
Prabowo tiba untuk lawatan khas sehari ke Malaysia
Prabowo sukar diramal - Penganalisis
Prabowo-Gibran diumumkan pemenang rasmi PILPRES 2024
Prabowo-Gibran unggul posisi tertinggi, anak Jokowi bukan faktor utama - Penganalisis